Thursday, September 30, 2010

Liverpool Vs FC Utrecht Astro

Perlawanan siaran langsung malam ini akan berlangsung jam 0100 waktu Malaysia di siaran Astro Supersport 2 Channel 816. Selain itu, satu lagi perlawanan menarik Liga Eropah antara Manchester City Vs Juventus akan bermula jam 0300 di siaran Astro ESPN Channel 812.

Match Preview : Liverpool Vs FC Utrecht

Liverpool bertandang ke Belanda malam ini tanpa ketiadaan kapten pasukan yang juga tonggak penting Liverpool iaitu Steven Gerrard. Selain Gerrard, Daniel Agger dan Danny Pacheco juga tidak dibawa ke Belanda.

Setelah hanya berjaya mengutip 6 mata dari 6 perlawanan dan tewas kepada Northampton dalam perlawanan Piala Carling, Liverpool perlu mencatat kemenangan untuk menaikkan semangat mereka sebelum bertemu dengan Blackpool di Anfield pada hari Ahad ini.

Ketiadaan Daniel Agger pasti membuat kita tertanya siapa yang akan bermain posisi bek kiri. Fabio Aurelio dan Paul Konchesky mengalami kecederaan, manakala Insua telah dipinjamkan ke Galatasaray. Pemain muda, Martin Kelly mungkin akan mengambil tempat di posisi bek kiri.

Jika dilihat dari perlawanan yang telah diharungi setakat ini, Liverpool mempunyai masalah yang besar di bahagian pertahanan. Berubah dari sistem 'zonal marking' kepada 'man marking' dan juga kebanyakan gol berpunca dari hantaran lintang dari sebelah kiri dan kanan pintu gol Liverpool.

Fernando Torres yang masih mencari sentuhan berbisa sejak tercedera ketika saingan Piala Dunia mungkin akan direhatkan di bangku simpanan dan memberi peluang kepada David Ngog untuk mengetuai jentera serangan Liverpool. Manakala Lucas dan Poulsen akan bergandingan di bahagian tengah malam ini. Dua pemain ini dilihat tidak serasi dan tidak kreatif untuk mengatur serangan Liverpool. Barisan kemungkinan malam ini.

- Reina -

- Johnson - Carra - Skrtel - Kelly

- Kuyt - Poulsen - Lucas - Cole

- Meireles -

- Ngog -


Friday, September 24, 2010

Liverpool Di Bawah Roy Hodgson

Selepas 11 perlawanan musim ini, termasuk perlawanan Liga Eropah, EPL dan juga Piala Carling, peminat Liverpool mula mempersoalkan kredebiliti atau kebolehan Roy Hodgson untuk menerajui Liverpool. Mungkin ada dari sebahagian peminat yang masih memberikan tempoh kepada Hodgson, namun setelah 11 perlawanan ini, saya sendiri mula mempersoalkan kebolehan beliau.

Setelah kekalahan memalukan kepada Northampton yang bermain di Liga Divisyen 2 (liga ke-4) dalam bola sepak England, ramai yang mahu Hodgson dipecat. Walaupon sering kali diberi sokongan oleh pemain dan Lembaga Pengarah Liverpool, namun beberapa taktik beliau boleh dipersoalkan.

Contoh yang ketara ialah 'man to man marking' yang menggantikan sistem 'zonal marking' yang diperkenalkan Rafa. Walaupon sistem zonal ini banyak dipandang rendah oleh media, namun sistem ini berjaya dan sudah sebati dengan sistem pertahanan Liverpool. Apabila sistem ini diubah, pertahanan Liverpool agak kucar kacir dan gagal berfungsi dengan baik terutama semasa bertahan dari hantaran lintang, sepakan percuma dan sepakan sudut.

Roy juga dilihat tidak mempunyai cita-cita tinggi. Contoh dari interview selepas perlawanan Birmingham yang beliau berpuas hati berjaya mengutip satu mata. Jika ini mentaliti yang diterapkan, jangan terkejut yang Liverpool sekali lagi hanya bermain di Liga Eropah musim hadapan. Beliau perlu berfikir yang kelab ini bukanlah sekadar kelab pertengahan liga seperti Fulham.

Perlawanan menentang Sunderland esok amat penting untuk Liverpool. Mereka perlu mengutip 3 mata setelah hanya berjaya mengutip 5 mata dari 5 perlawanan dan terperosok di tangga ke-16 liga.


Wednesday, September 22, 2010

Liverpool Vs Northampton Astro

Siaran langsung perlawanan di antara Liverpool Vs Northampton tidak akan disiarkan secara langsung oleh Astro pada malam ini. Astro akan membawa secara langsung perlawanan di antara Chelsea dan Newcastle. Nampaknya ramai peminat Liverpool terpaksa menonton di live streaming sahaja perlawanan malam ini. Perlawanan bermula jam 03:00 AM.

Tuesday, September 21, 2010

Match Preview : Liverpool Vs Northampton

Perlawanan Piala Carling bakal menyaksikan Liverpool menerima kunjungan Northampton di Anfield pada 22 September jam 20:00 waktu UK bersamaan jam 23 September jam 03:00 waktu Malaysia. Pemain-pemain muda Liverpool mungkin diberikan peluang untuk beraksi setelah pemain senior banyak mengharungi perlawanan dalam masa yang singkat ini.

Danny Wilson, pemain yang dibeli dari Rangers mungkin akan beraksi untuk kali pertama dalam perlawanan ini, manakala Jonjo Shelvey juga mungkin diberikan peluang oleh Hodgson. Liverpool harus mengikut jejak langkah Arsenal yang banyak menurunkan pemain muda dalam pertandingan Piala Carling ini. Dan jika dilihat Liverpool juga mempunyai ramai pemain muda berbakat seperti Suso, Amoo, Pacheco, Eccleston, Kelly dan Sterling.

Barisan kemungkinan untuk perlawanan ini.

- Jones -

- Kelly - Wilson - Agger - Mavinga

- Amoo - Spearing - Shelvey - Babel

- Pacheco -

- Eccleston -

Monday, September 20, 2010

Liverpool 2 Manchester United 3

Liverpool tewas lagi untuk kali yang kedua dalam perlawanan liga musim ini. Dengan hanya berjaya mengutip 5 mata dari 5 perlawanan Liverpool kini terperosok di tangga ke-16 liga dan ini ialah permulaan yang paling buruk dalam masa 18 tahun.

Perlawanan semalam agak seimbang dari segi penguasaan bola namun Liverpool dilihat tidak agresif apabila kebanyakan hantaran mereka hanyalah di kawasan tengah padang dan jika dilihat tiada hantaran menarik dilakukan. Pemain Liverpool bagaikan statik dan tidak kreatif dalam permainan mereka.

Taktik Roy Hodgson yang menerapkan idea 'man marking' juga dilihat tidak begitu berkesan. Walaupun idea 'zonal marking' semasa zaman Rafa Benitez dikutuk hebat oleh media UK, namun jika dilihat kepada statistik sistem ini lebih berkesan untuk pertahanan Liverpool. Ketiga-tiga gol Berbatov berpunca dari hantaran lintang atau sepakan sudut. Gol pertama Berbatov paling ketara hasil kelemahan 'man marking'. Beliau sepatutnya dikawal oleh pemain yang lebih berkebolehan untuk menangani bola di udara seperti Skrtel, Gerrard atau Meireles.

Walaupun Steven Gerrard cuba untuk menghidupkan peluang namun prestasi Howard Webb juga sudah dijangka oleh peminat Liverpool. Pengadil yang sering mencetuskan kontroversi ini sekali lagi berpihak kepada Manchester apabila O' Shea yang jelas menjatuhkan Torres dan beliau ialah pemain terakhir namun hanya diberikan kad kuning. Namun pengurus Manchester masih lagi menyemarakan api penyokong Liverpool apabila mengatakan beliau 'diving'. Jika dilihat Nani lebih banyak menjatuhkan badan dan berpura-pura cedera berbanding Torres.

Liverpool perlu menang sebanyak mungkin sehingga Krismas ini untuk layak ke pertandingan Liga Juara-Juara dan Hodgson perlu memikirkan sesuatu supaya sama ada dari segi taktikal mahupun pemilihan pemain.




Sunday, September 19, 2010

Liverpool Vs Manchester United Astro

Perlawanan antara Liverpool Vs Manchester United malam ini akan disiarkan pada jam 13:30 waktu UK iaitu bersamaan jam 20:30 waktu Malaysia. Perlawanan ini akan disiarkan secara langsung di ESPN channel 812 bermula 20:25

Match Preview : Liverpool Vs Manchester United

Dengan kejuaraan liga sebanyak 18 kali bagi kedua-dua kelab, perlawanan kelab paling berjaya di England pasti ditunggu oleh peminat seluruh dunia. Liverpool mendominasi liga pada tahun 70an dan 80an manakala tahun 90an dan era alaf baru pula dikuasai Manchester United sejak diurus oleh Alex Ferguson.

Joe Cole kemungkinan akan kembali ke kesebelasan utama setelah digantung tiga perlawanan akibat diberi kad merah semasa perlawanan pembukaan liga menentang Arsenal. Manakala Dirk Kuyt dan Fabio Aurelio pula terpaksa diketepikan akibat kecederaan. Beberapa pemain utama Liverpool seperti Fernando Torres, Steven Gerrard, Jamie Carragher dan Glen Johnson juga akan kembali ke kesebelasan utama setelah direhatkan oleh Roy Hodgson semasa perlawanan liga Eropah menentang Steaua Bucharest.

Perlawanan ini juga bakal menyaksikan sekali lagi pertembungan di antara Torres dan Vidic. Torres sudah berjaya menjaringkan 3 gol berturut-turut sejak menjaringkan gol di Old Trafford ketika kemenangan berpihak kepada Liverpool 4-1. Pada musim lepas beliau menjaringkan satu gol di Anfield ketika menang 2-0 dan satu gol di Old Trafford ketika kalah 2-1. Walaupun Torres masih tidak cergas sepenuhnya, beliau masih lagi penyerang terbaik bagi Liverpool ketika ini. Barisan kemungkinan malam ini.

- Reina -

- Johnson - Carra - Skrtel - Konchesky -

- Maxi - Gerrard - Meireles - Jovanovic -

- Cole -

- Torres -


Thursday, September 16, 2010

Liverpool Vs Steaua Bucharest Astro

Perlawanan antara Liverpool Vs Steaua Bucharest malam ini akan disiarkan pada jam 20:00 waktu UK iaitu bersamaan jam 03:00 waktu Malaysia. Perlawanan ini akan disiarkan secara langsung di Astro Channel 817 bermula jam 03:00 AM.

Match Preview : Liverpool Vs Steaua Bucharest

Liverpool akan menanti kelab dari Romania Steaua Bucharest untuk saingan Liga Eropah pada awal pagi nanti. Jika dilihat dari rekod mereka yang sudah menjuarai 23 kali Liga Romania dan 21 piala sepanjang sejarah penubuhan kelab itu. Roy Hodgson bercakap kepada media hari ini yang Liverpool tidak akan memandang mudah saingan kelab dari Romania itu.Rekod mereka sendiri telah membuktikan yang mereka adalah sebuah pasukan yang patut digeruni.

Beberapa pemain utama Liverpool dijangka akan direhatkan bagi perlawanan ini untuk memberi peluang kepada pemain muda seperti Pacheco, Kelly dan Ngog. Selain itu, Roy Hodgson juga berkata yang beliau akan memastikan semua pemain kekal cergas bagi menghadapi perlawanan liga Ahad ini apabila Liverpool dijadual bertemu musuh tradisi, Manchester United di Old Trafford. Barisan kemungkinan perlawanan hari ini.

- Reina -

- Kelly - Agger - Kyrgiakos - Konchesky -

- Maxi - Poulsen - Meireles - Babel -

- Cole -

- Ngog -

Monday, September 13, 2010

Birmingham 0 - Liverpool 0

Perlawanan Liga Perdana Inggeris kembali bersambung setelah berehat selama hampir 2 minggu untuk memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa yang melibatkan perlawanan kelayakan Euro 2012 dan juga perlawanan persahabatan. Liverpool berkunjung ke St Andrews dengan harapan untuk mengutip 3 mata penuh untuk memperbaiki kedudukan liga setelah hanya berada di kedudukan ke-15 setelah mengharungi 3 perlawanan.

Liverpool membariskan kesebelasan utama untuk perlawanan ini dengan Konchesky membuat 'debut', manakala Meireles berada di bangku simpanan. Torres dan Gerrard bergandingan di bahagian hadapan manakala Poulsen dan Lucas diberi tugas untuk mengemudi jentera tengah Liverpool.

Namun Birmingham yang banyak menguasai perlawanan di mana Pepe Reina berjaya menyelamatkan 2 percubaan merbahaya. Kesilapan yang dilakukan beliau ketika menentang Argentina ternyata tidak menggangu pemikiran Reina pada malam ini. Liverpool pula tidak banyak membuat percubaan di mana tiada langsung percubaan tepat ke arah pintu gol Birmingham pada separuh masa pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan Liverpool cuba meningkatkan tempoh permainan namun pertahanan Birmingham dilihat berjaya mengekang asakan Liverpool dan sesekali mereka cuba melakukan serangan balas yang nyata membuatkan barisan pertahanan Liverpool tidak senang duduk terutama Johnson dan Skrtel. Jentera tengah juga tidak berfungsi dan setelah Meireles dimasukkan barulah Liverpool kelihatan agak bersemangat untuk mencari gol kemenangan namun berjaya dikekang oleh Birmingham.

Keputusan ini dilihat tidak memberangsangkan kerana Liverpool hanya berjaya naik ke tangga 13 dan selepas ini akan menentang Manchester United di Old Trafford pula. Jika dilihat kepada prestasi ini, pasti Hodgson perlu membuat sesuatu supaya tidak tumbang pada perlawanan minggu hadapan.


Sunday, September 5, 2010

Perlawanan Testimonial Jamie Carragher

Apa lagi yang perlu diceritakan tentang Jamie Carragher. Hanya satu perkataan sahaja layak diungkapkan iaitu LAGENDA. Pemain yang berasal dari Boottle ini pada asal nya ialah seorang peminat Everton. Namun sejak menyertai Liverpool sebagai pemain remaja hati beliau telah terus terpikat dengan pasukan The Reds. Malahan Carra bukanlah satu-satunya pemain Liverpool yang membesar dengan menyokong Liverpool. Robbie Fowler dan Steve McManaman juga antara pemain yang meyokong Everton.

Perlawanan menentang Everton IX semalam ialah perlawanan bagi menghargai jasa dan sumbangan Carragher kepada bola sepak Liverpool. Ramai bekas pemain Liverpool kembali untuk bermain dalam perlawanan ini. Antaranya ialah Michael Owen, Luis Garcia, Jerzy Dudek, Danny Murphy dan Emile Heskey. Steven Gerrard juga membuat kemunculan selama 10 minit setelah diberi pelepasan oleh pengurus England, Fabio Capello.

Liverpool memulakan perlawanan dengan cemerlang dan mendahului seawal minit ketiga setelah Luis Garcia membuat satu sepakan lencong kaki kiri ke arah pintu gol Everton setelah menerima hantaran Emile Heskey dan Garcia membuat trademark beliau setelah menjaringkan gol dengan menghisap ibu jari tangannya. Jamie Carragher menjadikan kedudukan 2-0 setelah Liverpool dianugerahkan sepakan penalti setelah bola terkena tangan pertahanan Everton. Michael Owen cuba untuk mengambil sepakan namun dengan reaksi yang diberikan penonton terhadap beliau, Carra yang mengambil sepakan tersebut. Hampir keseluruhan penonton di dalam stadium masih tidak dapat memaafkan Owen yang bermain untuk Manchester United dan mereka mengatakan yang 'Once A Manc, Never A Red'.

Separuh masa kedua menyaksikan beberapa pemain muda Liverpool diberikan peluang seperti Eccleston, Shelvey dan Sterling yang baru berusia setahun semasa Carra membuat kemunculan pertamanya bersama Liverpool. Joe Cole berjaya menjaringkan gol pertamanya untuk Liverpool hasil hantaran lintang Ryan Babel dan disudahkan dengan sempurna oleh Cole di hadapan Kop End. Setelah itu, Everton mendapat penalti setelah Carra mengasari James Vaughan dan Carra sendiri yang mengambil sepakan itu dan itu menjadi detik terakhir Carra di dalam perlawanan dan beliau dikeluarkan selepas itu. Beliau berkata adalah menjadi impian beliau untuk menjaringkan gol bertemu Liverpool kerana membesar sebagai peminat Everton. Gol keempat Liverpool pula dijaringkan oleh Nathan Eccleston setelah menerima umpanan Ryan Babel.

Setelah itu, Gary McAllister dan Jason McAteer pula memasuki padang. McAllister yang setiap kali mendapat bola disambut dengan sorakan 'shoot' oleh penonton untuk mengimbau kembali gol kemenangan sepakan percuma beliau pada minit ke-94 pada perlawanan Merseyside Derby musim 2000/2001 yang melayakan Liverpool ke Liga Juara-Juara.Jadi keputusan terakhir untuk perlawanan semalam Liverpool 4 - Everton 1.

Wednesday, September 1, 2010

Jadual Perlawanan Liverpool September 2010

Liverpool akan bermain 3 perlawanan liga dan 2 perlawanan EPL pada bulan September ini. Perlawanan yang paling dinantikan peminat pastinya bertemu Manchester United di Old Trafford pada 19 September, 3 hari selepas Liverpool bertemu Steaua di Anfield untuk perlawanan pertama peringkat kumpulan Liga Eropah. Semua waktu perlawanan di bawah pada waktu UK, untuk waktu Malaysia tambahkan 7 jam. Jadual di bawah mungkin akan ada perpindahan terutama perlawanan yang melibatkan Piala Carling.

September 2010
12 Sep 2010 EPL Birmingham A 16:00 (UK) 23:00 (MY)
16 Sep 2010 Liga Eropah Steaua H 20:05 (UK) 03:05 (MY)

19 Sep 2010 EPL Man United A 13:30 (UK) 20:30 (MY)

22 Sep 2010 Piala Carling Northampton H 20:00 (UK) 03:00 (MY)

25 Sep 2010 EPL Sunderland H 15:00 (UK) 22:00 (MY)
30 Sep 2010 Liga Eropah Utrecht A 18:00 (UK) 01:00 (MY)